Bagaimana Idea Ini Tercetus?
Idea penubuhan Akademi Usahawan tercetus dari sekumpulan usahawan yang telah berjaya membangunkan perniagaan sendiri bermula dari kosong berbekalkan semangat yang tidak mengenal erti putus asa.
Di dalam proses untuk membangunkan syarikat sendiri, mereka telah bertemu ramai para usahawan yang berjaya dan mereka sedikit sebanyak telah dapat menimba ilmu daripada golongan usahawan tersebut.
Lebih mengejutkan, ilmu yang mereka perolehi ini jarang didedahkan dimana-mana institusi pengajian tempatan kerana ia merupakan pengalaman individu seseorang usahawan tersebut. Sedangkan ilmu ini juga penting untuk survival para usahawan kita.
Jadi, mereka sentiasa bercita-cita untuk menubuhkan Akademi Usahawan yang akan bertindak sebagai medium pengantaraan di antara para usahawan dan mereka yang berminat untuk menimba ilmu keusahawanan.
Sokongan Rakan Usahawan
"Akademi Usahawan akan mendedahkan 'the missing chapter' kepada para peserta." - Hasbul Ariff
Langkah pertama bermula apabila mereka mula berbincang idea ini dengan para usahawan yang lain dan semua menyokong penuh idea penubuhan Akademi Usahawan ini.
Sebagai permulaan, mereka menganjurkan 'Seminar Perniagaan Internet' yang disampaikan oleh beberapa usahawan Internet di kalangan mereka sendiri. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sungguh menggalakkan dan kini mereka sedang merangka lebih banyak seminar yang disampaikan oleh usahawan yang berjaya. Kini ribuan peserta telah menyertai Akademi Usahawan.
Individu Di Sebalik Akademi Usahawan
Akademi Usahawan bukan sekadar seminar tetapi lebih daripada itu. Kami benar-benar bermaksud untuk membina sebuah Akademi Usahawan yang benar-benar dapat membantu melahirkan lebih ramai para usahawan khususnya di Malaysia. Jadi, kami para usahawan berganding bahu untuk merealisasikan visi dan misi yang cukup besar ini dengan kemampuan yang kami miliki.
Pihak Pengurusan
Idris Husin (Pengetua)
Beliau telah mempunyai pengalaman berbelas tahun di dalam bidang perguruan sebelum meletak jawatan untuk menjadi seorang usahawan. Beliau juga merupakan seorang speaker pakar dan banyak terlibat dalam melatih badan-badan kerajaan dan juga swasta. Di Akademi Usahawan, beliau bertanggungjawab untuk mewujudkan sebarang program yang akan dianjurkan di bawah label Akademi Usahawan agar memberi impak yang maksima kepada para peserta.
Hasbul Ariff (Penasihat)
Beliau mengorak langkah di dalam dunia perniagaan sejak di universiti lagi sebelum benar-benar serius dalam membangunkan syarikat miliknya sendiri. Dengan pengalaman pahit dan manis beberapa tahun beliau bergelar sebagai usahawan, kini beliau boleh dikategorikan sebagai seorang usahawan muda yang berjaya dengan adanya beberapa perniagaan konvensional yang menguntungkan. Memiliki pejabat, pekerja, rumah dan kereta mewah sendiri mengukuhkan lagi status beliau.
Mohd Zhafran (Penasihat)
Beliau adalah usahawan muda yang berjaya dan merupakan salah seorang pengasas syarikat pemasaran internet yang gah di Malaysia iaitu Flarebiz Network Sdn. Bhd. Beliau berpengalaman dalam membangunkan laman web bagi syarikat korporat dan juga para usahawan. Beliau telah menggunakan kemahiran beliau untuk membawa syarikat Flarebiz ke satu tahap yang boleh dibanggakan dengan produk yang membantu para usahawan seperti Niagakit dan MiniNiaga.
Azhar Abdullah (Penasihat)
Beliau merupakan adik ketiga dari 13 adik beradik. Anak jati Kelantan yang berkelulusan Universiti Malaya ini mula menceburi bidang perniagaan setelah tamat pengajian beliau. Beliau merupakan pengurus produk Baju Muslimah dan juga menguruskan kawalan pekerja dan kedai. Merupakan satu-satunya peneraju Sinar Inpirasi yang masih belum berkahwin. Prinsip hidup beliau ringkas tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya - "Jangan mudah berputus asa".
Para Penceramah
Adly Mukhtar (Perniagaan Internet)
Beliau berusia 20 tahun dan merupakan salah seorang pengasas syarikat pemasaran internet, Flarebiz Network Sdn. Bhd. Beliau mula menjana pendapatan di internet pada usia 16 tahun dan menjana RM10,000 pertama pada usia 17 tahun dengan menjual produk digital. Kini beliau mengetuai bahagian pemasaran syarikat dan sangat teruja melihat perkembangan syarikat yang agresif kerana dibantu oleh ramai individu hebat di dalam syarikatnya.
Ahmad Sidry (Perniagaan Dropship)
Beliau adalah seorang usahawan tegar yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Bekas penuntut Universiti Al-Azhar, Mesir ini telah mencuba pelbagai jenis perniagaan samada di dunia offline mahupun online. Beliau merupakan peneraju utama kepada Sinar Inpirasi Niaga Sdn. Bhd. dan menjawat jawatan CEO. Beliau sangat aktif untuk berkongsi dan memotivasikan rakan-rakannya di Facebook. Prinsip hidup beliau adalah "Jangan terlalu merancang sebelum membuat keputusan".
Norlela Nawi (Perniagaan Butik)
Beliau bermula di dalam kancah perniagaan dengan MLM sebelum menceburi bidang perniagaan butik pakaian. Beliau merupakan seorang usahawan yang tidak gemar berhutang dan telah mencapai tahap bebas kewangan setelah beberapa tahun menceburi perniagaan. Bagi beliau pengurusan wang perniagaan adalah segala-galanya walau apa jua bidang perniagaan yang kita lakukan. Jika kita gagal untuk mengurus kewangan perniagaan, maka perniagaan kita akan gagal.
Dr. Shah Razali (Pelaburan Hartanah)
Beliau self-made millionaire dan mempunyai pengalaman luas di dalam perbankan konvensional dan perbankan Islam. Seorang ahli perniagaan dan perunding kejurulatihan pembangunan usahawan yang berjaya. Beliau merupakan pelabur dan pakar dalam bidang hartanah. Beliau telah bergelumang dalam sektor hartanah ini sejak 2001 dan telah mengharungi sepak terajang di dalam pelaburan hartanah. Kini bangkit semula untuk berkongsi dengan strategi yang betul tanpa anda lalui apa yang beliau lalui.
Hasbul Aqill (SEO & Affiliate)
Beliau merupakan 'business manager' di Flarebiz Network Sdn. Bhd. serta berpengalaman selama 2 tahun dalam perniagaan online. Pada awal tahun 2009, beliau mengambil keputusan untuk mengfokuskan pemasaran SEO kerana percaya dan yakin pemasaran inilah yang paling relevan dalam dunia maya ini. Dikenali sebagai usahawan serba boleh, beliau bukan sahaja berjaya memasarkan produk fizikal di internet, malah juga berjaya dalam memasarkan produk-produk affiliate dalam pasaran antarabangsa.
Para Krew
Aqif Azizan (Pengurus Komunikasi)
Beliau merupakan 'business manager' di Flarebiz Network Sdn. Bhd. dan sangat mencintai dunia penulisan untuk memandaikan bangsa. Dengan keghairahan tersebut, beliau bertanggungjawab dan merupakan penggerak utama bagi projek-projek kendalian Flarebiz Network seperti Majalah Niaga dan Komik Niaga. Di kalangan peserta Akademi Usahawan, beliau sudah sinonim sebagai pengerusi majlis dengan suara yang memukau peserta.
Nizam Ahamad (Pereka Grafik)
Beliau mempunyai pengalaman bertahun-tahun sebagai seorang grafik designer dan kini merupakan 'art director' di Flarebiz Network Sdn. Bhd. Selain itu beliau merupakan founder bagi forum grafik terkenal tanah air iaitu Pergh.com dan apa jua grafik berkaitan Akademi Usahawan mempunyai sentuhan beliau.
Tarmizi (Pemasaran Program)
Beliau merupakan pelajar lepasan universiti terkemuka Jepun sebelum menjawat jawatan sebagai eksekutif pemasaran di Sinar Niaga Sdn. Bhd. Beliau banyak mengatur strategi pemasaran offline seperti akhbar bagi program-program yang dianjurkan oleh Akademi Usahawan.
Hani Husin (Pengurus Program)
Beliau merupakan 'support manager' di Flarebiz Network Sdn. Bhd. dan bertindak menguruskan segala perkara berkaitan kelangsungan seminar seperti tempahan tempat, makan, printing dan sebagainya. Beliau juga menguruskan pendaftaran para peserta bagi program Akademi Usahawan.